20181104

24

Tak ada apa-apa yang istimewa pun. Cuma sebuah kedai serbaneka 24 jam di tengah kota raya. Ada 4 buah lagi kedai dari rangkaian yang sama sepanjang jalan ni. Kadangkala aku hairan bagaimana keempat-empat kedai masih mampu beroperasi. Siapa sangka yang permintaan makanan ringan di tengah kotaraya setinggi ini.

Majalah sukan dan kerepek kentang dan rokok dan aiskrim.

Berapa ramai agaknya orang yang keluar masuk kedai ni dalam masa sehari. Apa agaknya yang mereka cari dan apa agaknya yang mereka temukan. Adakah mereka cuma mahu berteduh dari cuaca panas di luar, atau benar-benar inginkan sesuatu untuk dikunyah di hujung minggu. Siapa tahu, siapa peduli.

Ban kaya dan bar coklat dan suratkhabar dan bijirin sarapan.

Ada ruang makan kecil di sebelah mesin air panas dan kaunter bayaran. Cuma dua meja kecil dan empat kerusi tinggi yang tak begitu selesa. Aku pasti itu disengajakan. Ruang selesa di kota ini hanya akan mengundang gelandangan duduk di situ. Taktik yang berkesan, aku tak pernah lihat sesiapa duduk di ruang itupun, kecuali aku.

Mi segera dan air mineral dan paracetamol dan kemurungan.

No comments:

Post a Comment