20130831

Retrospektif

Anjak ke belakang sepuluh tahun, di sebuah pekan kecil dikelilingi hutan, dan panggung wayang terdekat adalah sejauh dua jam setengah menaiki kereta; dan masalah aku yang paling besar adalah pensyarah-pensyarah yang mengira kedatangan sebagai markah peperiksaan dan hari-hari yang berlalu panjang tanpa sebarang aktiviti seakan-akan takkan berakhir.

Tentunya aku tak tahu pada waktu itu apa yang aku tahu sekarang, bahawa markah peperiksaan cumalah nombor di sekeping sijil dan hari-hari yang panjang adalah sesuatu yang patut aku raikan. Dan pastinya aku tak akan dapat sekarang apa yang aku ada pada waktu itu, sebuah pekan kecil jauh dari riuk-pikuk kemodenan dan acara paling dinantikan adalah pasar malam Sabtu.

-----

Anjak lagi sepuluh tahun ke belakang, di sebuah rumah pangsa di tengah kota, dan aku berlaga bahu dengan kanak-kanak dari rumah setinggan hingga ke rumah banglo, dan meskipun semuanya seakan tak cukup, ibu masih memberikan aku semuanya; dan aku tak ingat kalau aku ada masalah pun, kecuali kadang-kadang aku dimarah ibu dan aku terlalu muda untuk faham kenapa.

Tentunya aku tak tahu pada waktu itu apa yang aku tahu sekarang, bahawa memang semuanya tak akan cukup kalau tak ada pengorbanan, dan hidup tak pernah semudah bermain di taman permainan.  Dan pastinya aku tak akan dapat sekarang apa yang aku ada pada waktu itu, bebas dari berfikir tentang masalah dan kehidupan kelihatan begitu indah di mata aku.

-----

Kembali ke hari ini, di tengah-tengah pusat kewangan kota, dan semua laki-laki dan perempuan memakai kemeja berjalan tanpa henti, telefon bimbit di telinga; dan walaupun semuanya cukup aku tidak begitu gembira, dan masalah aku yang paling besar aku simpan sendiri.

Kerana aku tahu tentunya aku tak tahu sekarang apa yang aku akan tahu sepuluh tahun nanti.

3 comments:

  1. welcome back?
    hehe

    ReplyDelete
  2. avoidingsocialgatherings02/09/2013, 19:32

    Harap-harap berkekalan. Haha.

    ReplyDelete
  3. tahniah la dapat balik url ni

    ReplyDelete